
Sweet Muffin World
Life is an unexpected journey.
Hana [working title]
Prolog
Panas. Aku tersentak dari lena. Memandang sekeliling. Mataku liar meneliti setiap sudut villa ini.
Hidungku pantas menangkap bau asap yang semakin mengaburkan penglihatanku. Dalam keadaan masih keliru, otakku ligat memproses segala deria. Menafsir situasi yang sedang dialami.
Aku bingkas bangun dari sofa empuk yang membawa aku ke alam mimpi sebentar tadi. Kulihat hampir sebahagian ruang tamu ini sudah dijilat api. Villa mewah tiga tingkat ini semakin kehilangan gahnya. Benarlah, kemewahan ini sementara. Pabila sampai takdirnya, segala harta keduniaan akan hilang fungsinya.
Keadaan semakin mendesak. Saluran pernafasan terasa sempit dan panas. Badanku cuba mencari solusi dengan tindakan refleks. Aku terbatuk-batuk demi menghirup senafas udara segar.
Jalan keluar masih buntu. Semua laluan ke pintu utama sudah dihalang oleh api yang marak. Hanya kawasan sekeliling sofa sahaja yang masih belum disentuh api. Aku semakin panik.
Dalam situasi sebegitu, aku terpandang kotak merah baldu kecil yang elok terletak di tepi telefon. ‘Ya Allah!’ aku menjerit kecil. Kotak itu jauh lebih penting dari nyawaku.
Isi kotak itu kunci segala-galanya. Punca perubahan hidup seorang insan bernama Hana. Kunci rahsia sebuah keluarga konglomerat. Satu-satunya kelebihan yang aku miliki sekarang. Kotak itu perlu diselamatkan dengan apa cara sekalipun, nekad diriku.
Tanpa berlengah, aku terus mengoyakkan leretan kain yang bersama gaun ini. Kononnya untuk gaya penuh keanggunan si pemakai. Aku mencebik sendiri.
Kakiku terus melangkah berhati-hati menuju ke meja telefon. Keutamaan sudah beralih ke kotak tersebut. Dengan penuh fokus, aku tekun memerhatikan langkah supaya tidak terkena api yang marak, sambil menutup hidung dengan cebisan kain tadi.
Aku hampir sahaja melompat riang pabila berjaya mencapai kotak tersebut. Lantas dibuka memastikan kewujudan sesuatu yang penting didalamnya. Namun hampa. Kotak itu kosong!
Bagai jatuh ditimpa tangga, sedang terpinga dengan kenyataan, lantai dari tingkat satu yang semakin hangus terlerai lantas menghempap badanku. Rasa sakit menyentap seluruh badan.
Kotak kecil itu terjatuh dari pegangan. Bersama jatuhnya harapan.
Kekuatan badan diraih dalam usaha untuk menolak jatuh cebisan kayu tersebut. Kini tiada apa yang tinggal. Aku berfikir sendiri. Semangat semakin lemah. Asap semakin menebal.
Bunyi mesej telefon kedengaran di celah kesibukan sang api menjamah villa mewah ini. Mujurlah telefon itu memang hampir dengan badanku.
Aku terus menggapai telefon tersebut. Sekilas terpandang simbol bateri yang menunjukkan 1 peratus. Bagai menandakan peratus harapanku untuk hidup. Telefon pun mampu berjenaka nampaknya. ‘Hah.’ aku mengeluh.
“Kau masih hidup ? Haha. Mesti kau masih hidup, kalau tidak bagaimana kau membaca mesej ini bukan?”
Telefon itu terus tertutup tanda kehabisan bateri. Aku menyumpah sendiri. Kedatangan mesej itu bagai memberi seribu kekuatan.
Aku tiba-tiba merasakan yang aku perlu hidup. Untuk membuktikan kepada si penghantar mesej itu yang takdirku bukan ditangan dia, tapi dalam genggaman aku sendiri dengan izin tuhan.
Akhirnya cebisan kayu tersebut berjaya dialihkan dengan segala kudrat yang tinggal. Aku terus mencapai kotak kecil tersebut dan terus berjalan ke pintu belakang. Api semakin marak. Tiada ruang lagi untuk terus berjalan.
Kreek..kreeek.. Bunyi lantai kayu tempat berpinjak seperti tidak meyakinkan. Hujung kayu tersebut sudah dijilat api marak yang menuju pantas ke arahku. Aku cuba mengelak, dan tanpa disedari aku terlompat di atas kepingan kayu yang sudah menjadi arang, dan terus menembusi lubang di lantai tersebut.
Dalam sekelip mata, hanya satu perkara yang sempat terlintas di fikiran.
Mampukah aku untuk terus hidup begini ?